Pendapat seorang guru yang mengajar di Malaysia

Hari ini saya mengamuk di sekolah. Ini bukan diri saya yang sebenar. Anda tidak akan melihat saya sebegini lagi. Kebiasaannya, jika saya sedang marah, saya akan menghilang. Hari ini, saya telah membawa tiga orang pelajar perempuan kepada pengetua dan memanggil ibu bapa bagi tiga orang pelajar lelaki. Mereka ini merupakan pelajar yang bermasalah sejak hari pertama lagi saya mengajar di sini. Mereka tidak mahu mendengar, keluar masuk kelas mengikut kemahuan mereka, tidak menyiapkan kerja sekolah dan kerja berkumpulan, bercakap mengikut sesuka hati mereka, tidak ada adab pun di dalam diri mereka. Mereka juga tidak pergi ke surau untuk solat, membuli dan mengejek pelajar yang lain, memilih untuk meninggalkan kelas dan akan berjalan ke pintu kelas setiap 5 minit menjerit bagi mengganggu kelas tersebut.

Anda tahu siapa mereka ini?

Pelajar-pelajar perempuan tersebut merupakan anak-anak pegawai PPD dan guru sekolah manakala pelajar-pelajar lelaki pula merupakan anak-anak nelayan dan pekerja sosial.

Salah seorang bapa mereka datang ke sekolah setelah saya bercakap melalui telefon dengan isterinya. Katanya “Dia tak pernah pun kata dia ada kerja sekolah, dan dia juga selalu kata semuanya baik di sekolah.” Saya tunjukkan kepadanya markah anaknya (21, gagal) dan kertas jawapan yang saya kumpul setiap kali berakhirnya kelas. Kosong. Tidak berjawab. Saya memberitahunya, “Saya bukan bermain-main. Dia tidak peduli pun untuk menyiapkan kerja sekolahnya. Saya tak marah bila dia tak siapkan kerja; tetapi saya kecewa dia tidak tunjukkan pun usaha untuk menyiapkannya.” Bapanya membalas bahawa dia seorang yang baik di rumah. Cikgu-cikgu lain yang mengajar anaknya juga mengambil peluang ini untuk memberitahunya perkara yang sebenar. Dia benar-benar terkejut.

Manakala pelajar-pelajar perempuan pula menangis, merayu supaya pengetua tidak menghubungi ayah-ayah mereka kerana diri mereka di rumah sangatlah berbeza dengan diri mereka di luar. Anda perlu tahu bahawa sebahagian daripada pelajar-pelajar bermasalah ini ibu bapa mereka tidak tahu pun yang mereka ini bermasalah.

Sebelum kejadian ini, saya mengajar mereka cara bagaimana untuk menulis karangan dan meminta mereka untuk menulis sebuah karangan. Mereka minta saya supaya terjemahkan setiap patah perkataan.

“Cikgu, ‘yang’ tu apa?”

“Cikgu, ‘dengan’ tu apa?”

“Cikgu, ‘melaksanakan’ tu apa?”

“Cikgu, macam mana nak mulakan karangan?”

Apa yang mereka belajar sepanjang waktu di sekolah rendah? Mengapa teruk sangat asas mereka? Sangat susah untuk mempersiapkan mereka dalam menghadapi PT3 sambil mengajar mereka semula daripada asas yang sepatutnya mereka sudah ketahui sekurang-kurangnya sepanjang enam tahun mereka di sekolah rendah.

Bagaimanakah caranya untuk menerangkan betapa rumitnya masalah ini?

Ini benar-benar mengejutkan saya kerana saya datang dari sekolah yang bagus. Saya datang dari sekolah rendah yang bagus, kemudiannya SBP yang bagus, sekolah menengah yang bagus, dan akhirnya dari MRSM yang bagus. Saya tidak menjangkakan pengalaman sebegini dan saya bersyukur saya dimasukkan ke sekolah yang bagus. Saya bersyukur apabila emak saya selalu malukan saya sewaktu hari mengambil kad laporan dengan memberitahu semua perkara tentang saya, dan juga bertukar nombor telefon untuk menelefon setiap bulan. Hal ini mengejutkan saya kerana saya datang dari sekolah yang mana suasananya membuatkan saya berminat untuk belajar. Hal ini mengejutkan saya kerana sekolah rendah saya dahulu telah memberikan saya asas yang kuat dan mencukupi. Semasa saya menulis artikel ini, bukan saya ingin berkata guru-guru yang lain tidak bagus atau sekolah-sekolah lain tidak sebagus macam sekolah saya. Apa yang saya ingin maksudkan ialah: saya datang daripada suasana yang dipupuk semangat belajar sejak dari kecil lagi. Tidak pernah terlintas pun di dalam fikiran saya tentang situasi sebegini sebelum ini. Saya tak pernah terfikir bahawa ada lagi mereka di luar sana yang tidak mementingkan isu pendidikan.

Salah seorang guru berkata kepada saya; Ini mungkin mengejutkan awak kerana awak datang dari sekolah yang bagus dan awak sendiri pun seorang yang pandai. Hal ini tidak menjadi sesuatu yang mengejutkan jika anda datang daripada sekolah seperti kami.

Jadi, bagaimanakah caranya untuk menerangkan betapa rumitnya masalah ini?

Adakah cikgu-cikgu yang perlu disalahkan?

Adakah ibu bapa yang perlu dipersalahkan?

Salah sistemkah? SAPS Ibu bapa telah diperkenalkan untuk membantu penjaga memantau anak-anak mereka.

Salah pelajar kah?

Salah guru-guru sekolah rendah kah?

Salah menteri-menteri kah?

Di mana bermulanya masalah ini?

Guru-guru mula berputus asa,

Ibu bapa mula hilang harapan,

Sistem menjadi semakin menyusahkan,

Suasana yang tidak memberi motivasi,

Pelajar-pelajar mula hilang minat.

Saya tak bergurau: ada seorang guru yang mengaku bahawa dia mengajar disebabkan duit – dan bukan dia seorang sahaja yang sebegitu. Ada sesetengah guru yang sudah berputus asa – dan bukan mereka sahaja yang berputus asa.

Apa yang saya takutkan ialah disebabkan kita terlalu sibuk membina negara maju dengan bekerja keras, mencipta sistem yang lebih baik, meningkatkan penanda aras, dan tanpa disedari kita sedang menghapuskan setiap intipati pendidikan sehingga ke akar umbinya; dari rumah ke sekolah, dan dari pelajar-pelajar kepada guru-guru.

Rumitnya masalah ini menurunkan motivasi dan mengecewakan saya – bukan guru sebenar yang hanya bekerja untuk beberapa bulan. Anda fikir apa yang guru-guru sebenar telah ajar sepanjang 15-30 tahun ini?

Jika semua orang perlu dipersalahkan, jadi mengapa kita mulakan dengan satu atau dua punca sahaja? Satu kata-kata yang saya petik daripada seorang Ustaz hari ini ialah: Kalau bumbung tirih (bocor), kita tak boleh dok letak timba kat lantai, kita kena tukar bumbung.”

Pertama sekali, saya bukannya mahu merungut. Saya seorang guru sementara yang bertugas sewaktu cuti musim panas, dan saya risau akan situasi ini. Saya pernah menawarkan diri untuk mengajar di beberapa tempat yang berbeza semasa cuti – dari kem pelarian kepada rumah anak yatim, tetapi situasi ini sangat berbeza – kerana mereka ini tiada peluang untuk belajar jadinya mereka perlukan usaha yang lebih untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Akan tetapi ini bukan kesnya sekarang. Sebahagian daripada mereka ini tidak mahu untuk belajar. Jika perkara sebegini berlaku, anda tertanya-tanya atau tidak sebab mengapa mereka ini tidak mahu belajar?

Yang kedua, saya tidak menyalahkan sesiapa tetapi saya mempersoalkan semua orang. Adakah kita menjalankan peranan kita yang sepatutnya – sebagai ibu bapa, sebagai guru, sebagai pelajar, atau sebagai menteri? Walaupun terdapat ramai lagi guru, pelajar, ibu bapa, dan menteri di luar sana, tetapi itu tidak bermakna mereka semuanya bagus. Kita tumpukan pada masalah yang wujud sekarang ini, bukannya untuk membandingkan atau bersaing siapa yang lebih baik. Sementara bilangan pelajar yang bagus semakin meningkat, ini tidak bermakna kita perlu mengabaikan mereka yang tidak cemerlang.

Yang ketiga, saya akui bahawa terdapat pelbagai jenis pelajar di luar sana dan saya tidak boleh mengharapkan setiap orang untuk berjaya dalam pelajaran. Saya akui fakta bahawa bukan semua orang dilahirkan pandai. Kanak-kanak mempunyai IQ dan EQ yang berbeza-beza jadi saya tidak boleh mengharapkan mereka untuk duduk diam-diam dan belajar. Apa yang saya harapkan daripada mereka ialah minat untuk menuntut ilmu – tak kira apa jua ilmu. Jika anda mahu menjadi seorang mekanik, tunjukkan minat anda. Jika anda mahu menjadi seorang tukang masak, belajar dan pupuk minat anda dari sekarang. Saya tidak jangkakan kesemua pelajar saya untuk menjadi doktor dan peguam. Masalah yang saya hadapi ini berbeza. Mereka tidak mahu langsung untuk belajar. Tidak menghormati orang lain. Tidak hiraukan pun tentang sesuatu.

Terdapat seorang individu ini yang menulis komen “Kalau dah susah sangat jadi cikgu, kenapa tak berhenti sahaja? Tau la gaji tinggi dan banyak cuti. Isi sedikit data ke dalam saps itupun bising” Biar saya beritahu anda; Ini bukannya tentang duit. Sekarang ini mereka membayar saya RM50 sehari. Saya ada kedai bakeri dan perniagaan saya sendiri. Saya ada duit daripada ibu bapa saya. Saya ada tajaan biasiswa. Jika saya perlukan duit, saya tak perlu pun untuk menjadi seorang cikgu. Jadi, isunya di sini bukanlah tentang duit. Isunya tentang pendidikan dan masa hadapan.

Sewaktu di sekolah rendah, cikgu saya berikan saya tapak untuk memulakan langkah pertama. Saya digesa untuk bercakap dalam Bahasa Inggeris. Saya digesa untuk mengendalikan bicara berirama; saya disuruh untuk masuk pertandingan pengucapan awam. Kemudian saya juga disuruh untuk bertanding dalam pertandingan menari, boria, bercerita atau pameran sains – kesemua benda yang cikgu saya suruh masuk menjadian diri saya yang sekarang dan membolehkan saya merasai pengalaman yang berbeza-beza. Apa yang saya mahukan melalui penulisan saya ini atau melalui pengajaran saya ialah untuk memberikan pengalaman yang serupa kepada pelajar-pelajar saya supaya mereka juga boleh merasainya. Pelajar kita, walaupun bijak di atas kertas peperiksaan, masih lagi kurang dari segi kemahiran secara umumnya. Kemahiran berfikir, kemahiran berucap, kemahiran menulis, kemahiran berkomunikasi dan juga beberapa kemahiran yang lain hanya boleh dibentuk dengan memberikan mereka peluang untuk merasainya sendiri. Jika anda mahu menjadi seorang pelari pecut, anda tidak berfikir sahaja untuk memecut di atas balapan. Anda sendiri perlu turun padang dan berlari. Jika anda ingin menjadi seorang penulis, anda tidak boleh hanya duduk bersahaja dan fikir tentang menulis. Anda sendiri perlu menulis. Sama juga sekiranya kita mahu pelajar-pelajar untuk berfikir luar daripada apa yang terdapat di dalam soalan peperiksaan, kita perlu buatkan merek berfikir luar daripada apa yang tertulis di dalam buku teks. Kita perlu sediakan ruang yang mereka perlukan.

Saya tak kisah tentang keputusan. Mereka boleh gagal jika mereka mahu. Nanti ibu bapa boleh semak keputusan dengan saps ibubapa, rugi juga murid tersebut sendiri. Apa yang penting bagi saya ialah ilmu. Jika anda tidak mahu lagi menuntut ilmu, apa gunanya anda hidup? Islam bermula dengan Iqra! Bacalah. Jika Nabi Muhammad s.a.w. tidak mahu membaca ribuan tahun dahulu, tidak wujudlah Islam pada hari ini.

Kita sedang membincangkan tentang ilmu pengetahuan. Seseorang itu mesti belajar sesuatu ilmu. Belajar dan mencari ilmu ini merupakan kerja yang berterusan. Jika kita tidak dilatih untuk mencari, menghormati dan mencintai ilmu, kita akan membesar sebagai seorang yang hanya mengikut arahan secara membuta tuli.

Saya telah menulis beberapa pandangan tentang pendidikan sebelum ini tetapi itu semua dari sudut pandangan seorang pelajar dan pemerhati. Sebab mengapa saya memilih untuk menjadi guru kali ini ialah untuk melihat sistem dan pengurusan dari sudut pandangan yang lain; sudut pandangan seorang guru.

Kepada anda semua; Ibu bapa, abang, kakak, pakcik dan makcik, atuk dan nenek, kawan-kawan, senior – sesiapa sahaja, yang berkait rapat dengan pelajar, sejurus pulang dari tempat kerja anda hari ini, tanya pada mereka tentang hal persekolahan. Tanya mereka tentang kerja sekolah. Tanya mereka tentang setiap satu subjek. Tanya mereka tentang guru-guru mereka. Tanya tentang minat mereka. Kenali lebih mendalam lagi anak lelaki dan anak perempuan anda. Kemudian, keesokan harinya atau selepas cuti sekolah, hubungi guru mereka, lawat sekolah mereka dan berjumpa dengan guru tersebut. Tanyakan tentang kelemahan dan kekuatan mereka. Tanyakan tentang apa yang anda boleh lakukan untuk mereka. Tanyakan tentang markah mereka. Sentiasalah berhubungan dan mengetahui perkembangan mereka.

Ada banyak perkara yang perlu kita lakukan jadi marilah lakukannya bersama-sama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *