Peperiksaan Tidak Mengukur Nilai Seseorang Pelajar

“Pengajaran paling penting dalam hidup ini tidak selalunya dijumpai di dalam buku teks.” – Nadia Nicole

Pada hujung tahun 2016, pelajar-pelajar Nadia telah menamatkan peperiksaan akhir tahun Bahasa Inggeris mereka. Keputusan mereka amat memberangsangkan, tetapi bagi Nadia dia tidak yakin peperiksaan dapat mengukur pertumbuhan intelek dan sosial pelajar-pelajarnya.

Seperti mana kebanyakan kanak-kanak di seluruh Malaysia, pelajar-pelajar saya juga tidak begitu suka dengan peperiksaan.

“Peperiksaan memberi tekanan kepada saya kerana masa hadapan saya bergantung dengannya. Saya korbankan waktu lapang saya untuk membuat persiapan menghadapi peperiksaan.” JL, 14.

“Kami perlu belajar kuat untuk persediaan peperiksaan dan ini merupakan sesuatu yang sangat memberi tekanan.” – AA,14

“Soalan-soalannya sangat susah.” – HH, 14

“Saya tak dapat bermain bola sepak seperti mana yang saya mahu.” – IS,14

Walaupun mereka berada dalam kegelutan, saya telah melihat perkembangan mereka sepanjang tahun ini.

Pada awal tahun 2016, sebilangan pelajar gagal dalam peperiksaan Bahasa Inggeris mereka dan mereka ini dipercayai tidak mampu untuk mencapai markah yang lebih tinggi lagi. Saya masih lagi ingat seorang pelajar perempuan yang datang kepada saya dengan penuh tangisan sewaktu dia sedar dia sudah gagal. Walaubagaimanapun, menjelang akhir tahun, usaha keras, ketekunan dan bertambahnya keyakinan dalam dirinya membawa hasil apabila dia lulus dalam peperiksaan akhir tahunnya dengan peningkatan markah sebanyak 40%. Bukan dia seorang sahaja yang semakin bertambah baik. Saya lihat ramai pelajar yang mendapat gred E, D dan C – telah berjaya mencapai gred B dan A. Secara keseluruhannya, pelajar-pelajar saya berjaya mencapai tahap 100% lulus bagi subjek Bahasa Inggeris, dan saya bangga dengan pencapaian mereka.

Lulus dan mendapat gred yang baik bukanlah tujuannya.

Sebagai satu wadah untuk mengetahui perkembangan pelajar dalam sesuatu subjek, peperiksaan itu adalah diperlukan. Masalahnya, daripada melihatnya hanya sebagai alat untuk melakukan penambah baikan, ianya telah berubah menjadi satu pertandingan untuk melihat siapa yang boleh mendapat markah paling tinggi.

Satu perkara yang gemar saya lakukan ialah membuat nota pada kertas peperiksaan mereka berkaitan bagaimana mereka ini semakin bertambah baik berbanding peperiksaan yang sebelumnya. Ini menunjukkan pencapaian mereka di samping mengingatkan bahawa tidak kira bagaimana keputusannya, mereka sepatutnya meraikan pencapaian mereka.Saya percaya bahawa peperiksaan perlu dikurangkan kerana pelajar sekarang berfikiran bahawa apa yang mereka pelajari hanyalah semata-mata untuk melepasi peperiksaan. Mereka tidak memahami nilai pembelajaran. Sebagai guru mereka, apa yang saya cuba lakukan ialah dengan membantu menyedarkan mereka bahawa keputusan peperiksaan bukanlah segala-galanya.

Bagi membantu pelajar saya memahami visi belajar dengan tujuan, saya tunjukkan kepada mereka bahawa pembelajaran bukan sahaja berlaku di dalam kelas dan dewan peperiksaan.

Setiap kali mereka melihat saya di dalam kelas atau di luar, mereka tahu mereka perlu bercakap dalam Bahasa Inggeris dengan saya. Kadang-kadang, pelajar-pelajar ini tidak berpeluang untuk berlatih apa yang telah mereka pelajari di sekolah. Ianya mengambil masa bagi mereka untuk membiasakan diri, tetapi sekarang ini apabila mereka lihat saya, mereka secara automatik akan bercakap dalam Bahasa Inggeris.

Saya rasa terkejut dan gembira apabila mendapat tahu pada suatu hari bahawa mereka bercakap dalam Bahasa Inggeris walaupun saya tidak berada berhampiran mereka. Salah seorang pelajar saya memberitahu bahawa sewaktu di rumah, dia lebih cenderung untuk bercakap dalam Bahasa Inggeris daripada Bahasa Melayu disebabkan peraturan yang saya telah tetapkan. Ini merupakan satu kejayaan bagi saya sebagai seorang guru.

Menghargai kemahiran bersosial dan berkomunikasi dengan mendalam

Pendidikan yang terbaik seharusnya memberi peluang kepada pelajar untuk menjadi manusia yang lebih baik lagi. Apa tujuannya jika seseorang individu itu boleh memuntahkan fakta di dalam buku teks, tetapi akhirnya kita lihat dia biadap dan tidak menghormati orang lain? Saya percaya bahawa perubahan sikap yang positif merupakan satu perkara yang penting, jika tidak lebih penting daripada kejayaan dalam bidang akademik.

Saya sudah cukup bertuah mengenangkan kesabaran dan kegigihan pelajar saya yang lemah dalam mencuba dan memperbaiki diri mereka. Pelajar pun manusia juga. Kebanyakan kualiti hebat mereka tidak diukur melalui rubrik penilaian atau peperiksaan.

Melihat hasilnya di tempat yang lain.

Pada permulaan tahun 2016, saya telah menyediakan sebuah kontrak bagi pelajar kelas saya. Di dalamnya saya telah tetapkan peraturan-peraturan kelas dan jangkaan saya dalam melaksanakannya. Saya berbincang dengan mereka sekiranya mereka bersetuju, mendapatkan maklum balas, dan membuat perubahan yang bersesuaian.

Bagi memantau tingkah laku mereka, pada mulanya saya menggunakan sebuah aplikasi yang dipanggil Class Dojo. Pelajar akan mendapat markah bagi mereka yang menghantar kerja sekolah mengikut waktunya, menghormati orang lain, dan menepati masa sewaktu hadir ke kelas. Setiap kali ada antara mereka yang mendapat markah mencecah 30, saya akan berikan mereka ganjaran.

Sewaktu empat ke lima bulan yang pertama, saya terpaksa berpegang dengan sistem ini secara ketat. Namun selepas itu, saya sedar bahawa walaupun saya tidak menggunakan Class Dojo ini, ramai pelajar saya yang telah pun menunjukkan tabiat yang positif, seperti, “Cikgu, saya dah siapkan kerja sekolah. Boleh cikgu tengok apa yang saya dah buat?” atau “Cikgu, boleh saya tolong angkatkan beg cikgu?’. Perkara kecil sebegini membuatkan saya terharu.

Perkembangan sebegini bukan sahaja memberikan galakan, bahkan ini membuatkan saya menyedari had sesebuah peperiksaan itu.

Baru-baru ini saya ada menulis surat kepada pelajar-pelajar saya sebagai salah satu cara saya memberikan sokongan kepada mereka. Saya ingin tunjukkan kepada mereka bahawa keluarga mereka lebih mengetahui mereka daripada apa yang tertulis di kertas-kertas peperiksaan, dan juga saya melihat mereka sebagai seorang yang berbakat dengan cara masing-masing – kembar yang ada dalam kelas saya sendiri pun tidak serupa. Saya mahu mereka tahu bahawa peperiksaan tidak mengukur kesetiaan seorang sahabat, mahupun betapa sopan dan mengambil beratnya dia.

Peperiksaan yang mereka hadapi tidak menilai bakat mereka dalam bidang sukan, mahupun mengukur betapa banyaknya pertolongan yang telah mereka berikan kepada adik-beradik mereka yang lebih muda di rumah. Peperiksaan juga tidak mengukur betapa gembiranya saya dengan kehadiran mereka yang membawa cahaya dalam kehidupan saya.

Perjalanan akademik mereka tidak membawa apa-apa tanpa kasih saying. Saya telah melihat mereka lebih lagi daripada apa yang akan dilihat kertas peperiksaan dan saya tahu kertas-kertas tersebut tidak akan dapat mengukur nilai mereka yang sebenarnya pun.

Nadia Nicole Abd Halim merupakan seorang guru yang mengajar di Pasir Gudang, Johor. Beliau menerima ijazah Sarjana Muda Bioteknologi (Hons) dalam Bioteknologi Mikrob dari University of Queensland.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *