Proses Menghadapi Keputusan Peperiksaan Anak-Anak

Khas untuk Ibu Bapa – Proses Menghadapi Keputusan Peperiksaan Anak-Anak.

Menjelang waktu peperiksaan, tekanan bukan hanya dirasai oleh anak-anak. Malah ibu bapa tidak terkecuali. Mereka turut sama berkongsi rasa debaran menanti keputusan hasil usaha anak-anak mereka, bertungkus-lumus belajar bagi menghadapi peperiksaan. Hal ini kerana, ibu bapa sedar bahawa keputusan tersebut penting dalam usaha mereka mencorak masa depan anak-anak. Dalam artikel ini,akan diterangkan secara ringkas beberapa faktor yang perlu diambil berat oleh ibu bapa ketika berhadapan dengan situasi yang sebegini.

  • Jangan letak kesalahan pada anak-anak. Sekiranya anak anda tidak berjaya memperoleh keputusan yang diharapkan, berhenti meletakkan kesalahan di bahu mereka. Bukan hanya anda sahaja yang kecewa, anak anda tidak terkecuali. Seorang yang bertanggungjawab tidak akan meletakkan kesalahan pada orang lain. Oleh itu, hilangkan rasa bersalah dalam diri anak. Yakinkan pada diri mereka bahawa anda percaya mereka sudah berjaya berusaha sebaik mungkin.
  • Rasional. Sebagai ibu bapa, perlu kita ketahui anak-anak mempunyai kemampuan yang tersendiri. Oleh itu, jangan meletakkan harapan terlalu tinggi sehingga menyebabkan anak-anak tertekan untuk memperolehnya. Anda perlu sedar bahawa setiap orang mempunyai mempunyai kemampuan yang berbeza. Begitu juga pada anak-anak anda. Jadi seorang yang rasional dalam menzahirkan sesuatu harapan seiring dengan keupayaan yang ada pada anak-anak.
  • Jadi pendengar yang baik. Sebelum anda memberi tanggapan sendiri pada anak-anak, dengar luahan daripada mereka dahulu. Wujudkan komunikasi yang posititf semasa proses tersebut. Berusaha menjadi pendengar yang bagus. Berikan peluang untuk mereka menjelaskan situasi yang perlu dihadapi, fahami luahan mereka kemudian berbincang langkah yang tepat untuk memperbaiki sebarang kelemahan yang timbul.
  • Jangan mengungkit. Alihkan perhatian kepada masa kini, berhenti memandang ke belakang. Nampak mudah untuk menyalahkan keadaan, berharap diri tidak pernah melakukan kesalahan tersebut untuk pertama kali dan akhirnya diri mula terperangkap dalam dilema. Usah menangisi pekara yang sudah berlaku, tidak berguna lagi. Sebaliknya, ibu bapa jadikan peristiwa tersebut sebagai teladan dalam merangka masa depan anak-anak yang lebih cerah.
  • Sentiasa berwaspada pada sebarang perubahan. Dunia kini penuh dengan cabaran, bermula dengan persaingan akademik sehingga membawa kepada peraturan kemasukan ke universiti yang terlampau ketat. Anak-anak akan mulai berasa tertekan dan akhirnya hidup dalam tekanan. Penting untuk ibu bapa mengesan sebarang petanda depressi. Bagi perhatian kepada perubahan seperti suka menyendiri,tidak berminat untuk melakukan aktiviti sosial dengan keluarga mahupun rakan-rakan, dan mula menjadi seorang yang pemarah.
  • Terbuka dalam menerima bantuan. Pelbagai pilihan tersedia pada masa kini. Hal ini mungkin akan menimbulkan masalah untuk anda dan anak-anak dalam memilih subjek yang bakal diambil atau sektor pekerjaan yang ingin diterokai. Ambil langkah yang bijak. Minta bantuan daripada pakar bagi menyelesaikan kekusutan yang timbul. Seorang penilai kerjaya atau kaunselor mungkin mampu memberi bantuan yang diinginkan. Golongan ini akan menerangkan kelebihan yang ada dalam diri anak-anak dan memandakan kerjaya yang sesuai berdasarkan personaliti mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *